Zheyah Pudin
HAK-HAK SELEPAS PERCERAIAN

Saturday 6 March 2021 @ 13:43 | 0 HeartBeats

Setelah berlakunya sesuatu perceraian, pasti ada hak yang boleh dituntut hasil dari perkahwinan atau dalam tempoh iddah. Antara hak yang boleh dituntut oleh pihak-pihak selepas perceraian ialah:-

1. Nafkah iddah (dalam tempoh iddah)

Selama tempoh iddah, si suami perlu menyediakan tempat tinggal dan memberi nafkah kepada isteri. ini bertepatan dengan kehendak Hukum Syarak dan Undang-Undang. 

Rujuk Seksyen 72 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor).

2.  Mutaah

Apakah itu mutaah?

Mutaah itu merupakan bayaran saguhati yang diberikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya selepas mereka bercerai. Hukum Syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa seseorang wanita yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan mutaah.  

Rujuk Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor).

3. Harta sepencarian

Apa-apa harta yang telah diperoleh semasa tempoh perkahwinan dan diusahakan bersama oleh suami isteri. Namun isteri yang tidak bekerja semasa tempoh perkahwinan juga berhak menuntut harta sepencarian.

Rujuk Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor).

4. Hadhanah (hak jagaan anak)

Pada umumnya, hak jagaan anak akan jatuh kepada ibu namun terdapat juga hak hadhanah yang tidak berpihak kepada si ibu sekiranya didapati ada apa-apa perkara yang menyebabkan seorang ibu hilang kelayakan mendapat hak jagaan anak berdasarkan Seksyen 84 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor).

Antara kelayakan yang perlu untuk penjagaan iaitu; 

(a)Islam, 

(b)sempurna akal, 

(c)berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu, 

(d)berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah, dan 

(e)tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Rujuk Seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor).

5. Nafkah anak

Kewajipan seorang bapa untuk menanggung nafkah anaknya sama ada dibawah jagaannya ataupun jagaan orang lain. Nafkah tersebut sama ada menyediakan tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan dan pelajaran.

Rujuk Seksyen 73 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor). 

6. Tunggakan nafkah 

Tunggakan nafkah boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir. jika tunggakan tersebut terkumpul maka perlu dibayar sebelum mati. Ia akan menjadi suatu hutang yang perlu dibayar dari harta pusakanya.

Rujuk Seksyen 70 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor).  

7. Tunggakan nafkah anak

Sekiranya terdapat tunggakan bagi nafkah anak, maka boleh buat aduan ke Mahkamah untuk dikuatkuasakan perintah ke atas si bapa untuk membayar tunggakan nafkah anak.

Rujuk Seksyen 78 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor).


Para isteri yang telah diceraikan boleh datang ke Mahkamah Syariah berhampiran untuk menuntut hak-hak mereka selepas perceraian. Undang-Undang Syariah amat menitikberatkan hak-hak yang perlu dituntut dan ia adalah bersesuaian dengan Hukum Syarak demi kebajikan masing-masing pihak. 



Older Post | Newer Post
The Disclaimer


A law Syariah practitioner.

Knowledge About Stuff Them

Tagboards

MyEm0.Com
Leaves your Footprints. Thank you :)



Big Claps