Zheyah Pudin
LAFAZ CERAI LUAR MAHKAMAH

Friday 28 May 2021 @ 09:07 | 0 HeartBeats

Apabila berlaku lafaz cerai tanpa kebenaran mahkamah, ia perlu dirujuk ke mahkamah bagi tujuan pengesahan dan ditentukan jumlah talak yang dilafazkan serta baki talak.
Ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri iaitu pendaftaran perceraian di luar mahkamah.

Seksyen 57 (1): “Walau apa pun Seksyen 55, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mah-
kamah, hendaklah dalam masa tujuh hari daripada pelafazan talak itu melaporkan kepada mahkamah.”

Malah, lafaz cerai yang dibuat tanpa kebenaran mahkamah adalah satu kesalahan di bawah enakmen sama, di bawah Seksyen 125.

Seksyen 125 menyatakan, “Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dengan apa-apa bentuk di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, maka dia adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”

Oleh itu, bagi pasangan yang sudah bercerai di luar dan kemudiannya rujuk kembali sebagai suami isteri, mereka perlu segera membuat pengesahan cerai dan rujuk di mahkamah. Tujuannya agar perceraian dan rujuk itu dapat direkodkan dan dijelaskan kepada kedua-dua pihak baki talak yang masih tinggal.

Pasangan suami isteri yang telah melafazkan lafaz cerai sama ada dalam bentuk sorih atau kinayah, perlu mengasingkan diri di bilik yang lain dalam tempoh iddah. Ini kerana bimbang jika terjadi perkara lain di kemudian hari. 

Sekiranya perceraian yang dilafazkan suami secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk), maka suami berkuasa merujuk isterinya selama tempoh iddah. Sekiranya perceraian yang diperintahkan bukan secara fasakh atau tebus talak, maka ia tergolong dalam perceraian yang tidak boleh dirujuk iaitu talak bain.

Talaq bain terbahagi kepada dua iaitu talak bain kubra dan talak bain sughra.

Talaq bain kubra adalah talak yang berlaku kepada pasangan sebanyak tiga kali iaitu suami menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Pasangan tidak boleh rujuk atau bernikah semula buat selama-lamanya melainkan isteri menikahi lelaki lain dan mereka hidup sebagai suami isteri yang sah. Jika ditakdirkan isteri berpisah atau suami keduanya meninggal dunia, maka barulah suami pertama berhak menikahi bekas isterinya itu.

Kategori kedua adalah talak bain sughra. Ia adalah talak yang diucapkan suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tidak boleh rujuk semula melainkan dengan pernikahan baru walaupun isterinya dalam idah.

Sebahagian daripada talak bain sughra adalah:
1. Talak yang diputuskan oleh hakim.
2. Talak melalui khulu’.
3. Talak yang difasakhkan oleh hakim.

Seandainya suami sudah melafazkan talak kali kedua dan talak itu masih berbaki dua atau satu talak, maka ia masih dikira sebagai talak rajie dan pasangan boleh rujuk semula.

Jika suami enggan rujuk, status pernikahan terputus selepas tamatnya tempoh iddah.
Sebab itu, pasangan suami isteri yang bercerai dengan atau tanpa kebenaran mahkamah perlu mengetahui jumlah talak dan jenis perceraian yang berlaku. Pasangan juga perlu memahami prosedur yang sah jika berlakunya perceraian dan rujuk.


HAK-HAK SELEPAS PERCERAIAN

Saturday 6 March 2021 @ 13:43 | 0 HeartBeats

Setelah berlakunya sesuatu perceraian, pasti ada hak yang boleh dituntut hasil dari perkahwinan atau dalam tempoh iddah. Antara hak yang boleh dituntut oleh pihak-pihak selepas perceraian ialah:-

1. Nafkah iddah (dalam tempoh iddah)

Selama tempoh iddah, si suami perlu menyediakan tempat tinggal dan memberi nafkah kepada isteri. ini bertepatan dengan kehendak Hukum Syarak dan Undang-Undang. 

Rujuk Seksyen 72 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor).

2.  Mutaah

Apakah itu mutaah?

Mutaah itu merupakan bayaran saguhati yang diberikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya selepas mereka bercerai. Hukum Syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa seseorang wanita yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan mutaah.  

Rujuk Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor).

3. Harta sepencarian

Apa-apa harta yang telah diperoleh semasa tempoh perkahwinan dan diusahakan bersama oleh suami isteri. Namun isteri yang tidak bekerja semasa tempoh perkahwinan juga berhak menuntut harta sepencarian.

Rujuk Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor).

4. Hadhanah (hak jagaan anak)

Pada umumnya, hak jagaan anak akan jatuh kepada ibu namun terdapat juga hak hadhanah yang tidak berpihak kepada si ibu sekiranya didapati ada apa-apa perkara yang menyebabkan seorang ibu hilang kelayakan mendapat hak jagaan anak berdasarkan Seksyen 84 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor).

Antara kelayakan yang perlu untuk penjagaan iaitu; 

(a)Islam, 

(b)sempurna akal, 

(c)berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu, 

(d)berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah, dan 

(e)tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Rujuk Seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor).

5. Nafkah anak

Kewajipan seorang bapa untuk menanggung nafkah anaknya sama ada dibawah jagaannya ataupun jagaan orang lain. Nafkah tersebut sama ada menyediakan tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan dan pelajaran.

Rujuk Seksyen 73 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor). 

6. Tunggakan nafkah 

Tunggakan nafkah boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir. jika tunggakan tersebut terkumpul maka perlu dibayar sebelum mati. Ia akan menjadi suatu hutang yang perlu dibayar dari harta pusakanya.

Rujuk Seksyen 70 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor).  

7. Tunggakan nafkah anak

Sekiranya terdapat tunggakan bagi nafkah anak, maka boleh buat aduan ke Mahkamah untuk dikuatkuasakan perintah ke atas si bapa untuk membayar tunggakan nafkah anak.

Rujuk Seksyen 78 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor).


Para isteri yang telah diceraikan boleh datang ke Mahkamah Syariah berhampiran untuk menuntut hak-hak mereka selepas perceraian. Undang-Undang Syariah amat menitikberatkan hak-hak yang perlu dituntut dan ia adalah bersesuaian dengan Hukum Syarak demi kebajikan masing-masing pihak. 


CARTA ALIRAN PROSES PERCERAIAN DI MAHKAMAH SYARIAH

Sunday 27 December 2020 @ 22:32 | 0 HeartBeats

Proses perceraian di Mahkamah Syariah di Malaysia tidaklah sukar namun perlu mengikuti prosedur yang telah ditetapkan. berikut adalah carta aliran proses perceraian di Mahkamah Syariah untuk panduan dan rujukan.







layari e-syariah dan dapatkan maklumat tentang pengurusan kes di Mahkamah Syariah. untuk maklumat lebih lanjut, sila datang ke Mahkamah Syariah berhampiran untuk mengetahui tindakan selanjutnya. semoga bermanfaat!



The Disclaimer


A law Syariah practitioner.

Knowledge About Stuff Them

Tagboards

MyEm0.Com
Leaves your Footprints. Thank you :)



Big Claps